Wednesday, March 23, 2011

lagi-lagi perang

Alasan dangkal Barat serang Libya( petikan surat pembaca Berita Harian)

TINDAKAN Amerika Syarikat dan sekutu Eropahnya menyerang Libya memperlihatkan betapa cepatnya kuasa Barat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak ke atas negara Islam yang sedang bergolak dengan mendakwa pemimpin yang ditentang rakyatnya itu didakwa melanggar nilai dan hak kemanusiaan. Dua perkara ini sering dijadikan alasan oleh kuasa Barat dalam tindakannya menyerang negara lain, terutama negara Islam.

Kita ingin bertanya kepada kuasa besar berkenaan apakah tindakan mereka terhadap Israel yang sudah berkali-kali menodai hak asasi manusia dengan membunuh dan menzalimi rakyat Palestin sewenang-wenangnya? Apakah tindakan yang dikenakan ke atas Israel apabila negara haram Zionis itu melampaui batas kemanusiaan?
Adakah PBB, Amerika dan Eropah menggerakkan tenteranya untuk berhadapan dengan pemerintah Israel yang zalim itu? Adakah PBB dan Majlis Hak Asasi mengambil tindakan sewajarnya ke atas rejim Zionis itu?
Demikian juga ketika berlaku pembunuhan ke atas umat Islam Bosnia oleh puak Serb, kuasa Barat dan Majlis Keselamatan PBB tidak bersungguh-sungguh mengambil tindakan ke atas kezaliman Serb sehingga mereka hampir berjaya melaksanakan penghapusan etnik Bosnia.

Kita bukannya mahu membela Muammar Gaddafi yang melakukan kezaliman ke atas rakyatnya sendiri yang menolak kepemimpinannya. Kesilapan Gaddafi ialah menganggap kebangkitan rakyatnya sebagai pemberontak atau perusuh yang harus diperangi.

Justeru, Gaddafi bertindak nekad mengisytiharkan perang ke atas rakyatnya. Itu pun Gaddafi mendakwa menggunakan peruntukan perlembagaan negaranya yang menganggap pemberontak adalah musuh negara.

Persoalannya, mengapa begitu pantas Amerika dan PBB bertindak? Apakah benar dakwaan Presiden Barack Obama yang menyebut serangan itu bertujuan menyelamatkan orang awam daripada kezaliman pemimpin yang tidak ada belas kasihan ke atas rakyatnya? Mungkinkah ia cuma alasan untuk mewajarkan niat sebenar Amerika dan sekutunya untuk menguasai Libya.
Dunia tahu bahawa Libya antara negara pembekal minyak yang strategik. Apakah kerana kepentingan minyak yang strategik itu menyebabkan Amerika dan sekutunya ingin mengambil peluang dari krisis yang berlaku di Libya itu.

Gaddafi adalah pemimpin Arab yang tidak mudah tunduk kepada Amerika. Sejak dulu lagi, dia tidak disenangi Barat. Gaddafi adalah pemimpin yang muncul melalui rampasan kuasa pada 1969 selepas menggulingkan raja Libya yang masih muda ketika itu yang didakwanya selalu mengikuti telunjuk Amerika dan Barat

No comments:

Post a Comment